Tempeleng
VS Bunga Kertas
Selesai
perhimpunan rasmi pada hari isnin. Perhimpunan yang dibarisi hampir 1,500
pelajar dan 70 guru. Sekolah itu dikategorikan dalam sekolah Gred A. Atul tidak
pernah suka berdiri lama di perhimpunan rasmi itu. Dalam fikirannya, bila
mahunya habis perhimpunan yang difikirnya tidak perlu. Asyik-asyik mendengar
bebelan guru yang bertugas pada minggu lepas. Isu-isu yang kerap kali
dibangkitkan seperti pembuangan sampah makanan di merata-rata, berebut membeli
makanan dan isu rokok yang dijumpai dalam tandas pelajar lelaki. Atul sudah
mengira pada setiap kali perhimpunan rasmi yang tidak pernah dirasmikan itu
hanya menyentuh isu-isu yang bersifat lapuk, tidak modernisme, ortodoks, dan
konservatif. Pada fikiran Atul, waktu bilakah guru-guru ini mahu menyentuh
isu-isu kebajikan pelajar, kem-kem motivasi untuk pelajar, program-program
untuk bina jati diri pelajar, dan paling dimahukannya, pertandingan menyanyi di
sekolah. Sememangnya Atul sangat punyai bakat dalam seni suara.
Atul seorang pelajar di kelas 5A
iaitu kelas yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang hebat dalam menjawab
soalan peperiksaan. Seorang perempuan yang bijak, berkarisma, mempunyai bakat
menyanyi dan pandai bermain alat muzik. Ibu bapa Atul seorang yang bekerjaya
tinggi. Bapanya seorang pengarah studio kelas muzik di ibu kota manakala ibunya
seorang pensyarah di bidang teater. Ibu bapanya merupakan orang seni dan darah
seni itu turun kepada anak perempuannya iaitu Atul.
Sememangnya Atul digilai ramai
pelajar-pelajar lelaki. Berbondong-bondong mesej di telefon bimbitnya masuk pada setiap hari dan malangnya satu
nombor pun tidak pernah dikenali. Dia berfikir, “macam mana mereka boleh
dapat nombor telefon aku ni?”. Bahkan ada sesetengah itu, pelajar perempuan
juga ingin menjadikannya teman yang bukan sekadar teman biasa tetapi teman yang
luar biasa. Atul sentiasa berbangga mesej yang banyak itu tetapi satu pun tidak
pernah diendahkannya. “Bukankah aku ni umpama artis? Perlulah aku jual mahal...” Hati Atul
bongkak berkata begitu.
Biarpun dalam sekolah Atul sentiasa
diperhati dan menjadi perhatian rakan-rakannya yang lain. Atul tetap tegak
dengan pendiriannya untuk tidak menyukai mana-mana lelaki. Sebelum ini Atul
pernah dikecewakan oleh teman lelakinya yang empat tahun lebih tua daripadanya
ketika dia berusia 15 tahun. Selepas sahaja teman lelakinya mendapat tawaran
belajar ke universiti, tidak sampai tiga minggu, teman lelakinya memutuskan
hubungan tidak rasmi mereka yang sudah terjalin selama hampir 365 hari. Alasan
yang teman lelaki Atul itu berikan ialah “hendak fokus pada
pelajaran, dan tidak mahu hampakan hasrat ibu bapa”. Atul berpendapat alasan
itu alasan sangat jijik. Alasan yang sudah biasa didengar dari pengalaman
rakan-rakan perempuannya yang lain tatkala mereka dilepaskan oleh teman lelaki
masing-masing. Atul sangat benci lelaki yang hipokrit, kerana dia ketika itu
mendapat maklumat bahawa bekas teman lelakinya itu sudah mempunyai teman wanita
di tempat pengajiannya. Atul sangat benci pada golongan lelaki yang cuba
mempermainkan golongan wanita. Jikalau ada pelajar lelaki lain mengata dia
sombong, dia tidak kisah. “Seorang benci aku, sepuluh suka aku, 100 benci
aku, 10, 000 orang suka aku”. Tegasnya.
Atul sentiasa memerhatikan seorang pelajar lelaki pelik yang sentiasa
mengekorinya. Kulit budak lelaki itu putih pucat umpama mayat, hidung mancung
bak ikan todak, dan rambut keriting bagaikan tepung maggi. Pakaian budak lelaki
itu berwarna kekuningan seakan direndam terlalu lama dalam besen basuh. Bau
busuk badannya dan hingusnya yang pekat kehijauan sesekali keluar dari kedua
lubang hidungnya. Menggambarkan betapa lelaki ini tidak ingin didekati oleh
sesiapa kecuali dua kawan karibnya iaitu Moja dan Suzie. Moja dan Suzie
sentiasa setia menemani lelaki itu. Sedangkan Atul geli benar melihat pelajar
lelaki itu. Jijik ...
Atul mendapat khabar nama budak lelaki itu Ali. Ali berada di kelas 5N.
Kelas di hujung sekali. Kelas “Budak Bodoh” pada fikiran Atul. “Budak-budak yang bakal menghancurkan negara, tiada
ciri-ciri kepimpinan dan pergi ke sekolah hanya tahu membuang duit ibu bapa,
manusia-manusia sebeginilah yang akan merosakkan sosio-budaya masyarakat”
menurut pandangan Atul.
Mendengar berita dari rakan-rakannya, Ali merupakan budak baik dan
tidak pernah menyakiti hati orang lain. Manusia yang tidak pernah mempedulikan
hal orang lain. “Tetapi apa aku peduli, selekeh betul aku tengok mamat tu, dahla pengotor,
busuk, tak pernah mandi ke?” Atul sering berfikir negatif terhadap Ali.
Banyak-banyak mata yang sentiasa
memerhatikan Atul dalam sekolah itu, dia bencikan pandangan Ali. Wajah Ali
langsung tidak komersial. Mata kuyu dan bibir yang dimuncungkan membentuk huruf
“U” terbalik
menghadirkan perasaan meluat Atul terhadap Ali. Ali kerap curi-curi melihatnya.
Ali gemar melihat Atul dan sangat meminati Atul. Ali tertawan mendengar suara
Atul menyanyi semasa majlis penyampaian kecemerlangan akademik pada tahun
lepas. Atul seorang penghibur yang baik. Setiap kali waktu rehat, Ali akan
mengekori Atul kemana sahaja Atul tuju. Atul tidak menyedari akan dirinya yang
sentiasa diekori oleh Ali sebelum ini.
Dia hanya mengetahui setelah rakannya yang berbangsa Tiong Hua iaitu Lee
Pei berkata padanya “Ali sentiasa memerhatikan gerak-geri awak”. Ketika detik itulah Atul
sangat berhati-hati dan menjaga setiap pergerakan dan posture badan semasa berjalan. “Tapi, untuk apa aku berjalan sebagai model catwalk ketika diperhati oleh dia? Budak
itu bukan tahu apa pun?” Atul hanya berfikir Ali itu sangat bodoh orangnya.
Jam menunjukkan 10:20 pagi
menandakan waktu rehat bermula. Atul menjaga langkahnya agar tidak menjadi
bahan umpatan orang. Dia sentiasa menjaga langkahnya agar tidak kelihatan buruk
dipandangan orang lain. Maklumlah, pelajar paling glamour di sekolah. Mujur dia
sentiasa dikelilingi rakan-rakan yang menutupnya dari menjadi perhatian
pelajar-pelajar lain.
Ali tidak diketahui asal-usulnya. Siapa ibu bapanya tidak diketahui
oleh Atul. Melainkan Atul bertanya sendiri pada rakan-rakan Ali di kelasnya,
barulah dia berkemungkinan tahu asal-usulnya. “Hendak tahu halnya untuk apa? Tak perlu kot....”
Atul tidak gemar untuk mengambil tahu hal orang lain. Cukuplah orang lain
mengambil tahu hal dirinya.
Berbaris-baris pelajar untuk membeli
minuman yang berharga 50 sen itu. Ada air anggur, air oren, air sirap dan air
limau. Atul dan rakan-rakan turut berbaris untuk membeli minuman. Barisan
pelajar lelaki dan pelajar perempuan berasingan. Kelihatan Ali di sebelah
barisan pelajar perempuan untuk membeli minuman. Besi penghadang barisan
pelajar perempuan itu menjadi penghalang Ali untuk terus merapati
pelajar-pelajar perempuan.
Ali cuba melihat Atul dari dekat. Atul serba tidak selesa dan tidak
tentu arah. Perasaan yang berdebar-debar, jantung bagai dicucuk-cucuk jarum
benang, dan muka Atul kelihatan menarik tinggi. Mata Atul mengecil jijik, pipi
mengembang jelik dan bibir Atul
menongkat naik geli melihat Ali. Menggambarkan betapa bencinya dia terhadap Ali
yang serupa siamang liar di hutan.
“Pergilah budak serabai,
pergilah.....”, “Aku tak nak hingus kau meleleh kat baju bersih aku ni” Atul bersuara
kuat tetapi agak terkawal daripada menjadi perhatian sekeliling. Rakan-rakannya
hanya diam seribu bahasa. Ali tetap perkasa dan berdiri teguh untuk cuba
menghampiri Atul iaitu perempuan yang lama diminatinya. “Pergilahhhhhhhh !!!!!!!!!
Atul menjerit sekuat hati. Tangan Atul menolak kuat si Ali. Ali tetap tidak
berganjak dan terus mara ke hadapan dengan semangat waja. Semua mata memerhati
Atul, bukan pada perbuatan Ali yang cuba menghampirinya. Meskipun Ali tidak
cuba menyentuh, mengganggu atau sekadar cuba menghampirinya, Atul tetap berang
dengan ketidakpedulian orang lain terhadapnya.
Atul berasa tidak senang dan secara jujurnya sangat jijik terhadap Ali.
Rakan-rakannya juga tidak melindunginya. Atul berpendapat orang lain tidak
mengasihaninya, termasuk rakan-rakannya. “Mengapa?, kenapa orang lain tengokkan sahaja?”,
bodohnya mereka ini?, Mereka kasihan kat
aku atau budak hingusan Ali?” semua itu menjadi persoalan yang bermain di
fikiran Atul. Atul bingung, bengang, malu, marah dan segala perasaanya menjadi
bercampur-baur.
Menjadi keanehannya ialah, Atul berasa kali ini lain benar sekeliling
memerhatikannya. Selama ini Atul berasa jika orang lain melihatnya akan penuh
dengan kegaguman serta keterujaan. Namun sebaliknya, perhatian orang lain
terhadap Atul berbeza apabila dia bersemuka dengan Ali. “Ada apa dengan si Ali
budak busuk ni, apa keistimewaannya?” Itulah kata hati Atul setiap kali melihat
Ali. Langsung tiada kelebihan yang dilihatnya pada diri Ali. Atul sentiasa
berasa diri dia lebih sempurna dari Ali. Seharusnya orang lain lebih
memerhatikan dia berbanding Ali. Atul boleh menghiburkan orang lain dengan
suaranya yang lunak, sekurang-kurangnya ada juga peranan dan jasanya kepada
orang lain. Boleh jadi orang yang sedang berduka lara pun menjadi riang apabila
mendengar suara Atul mendendangkan lagu yang syahdu. Tetapi Ali? Apa jasanya
pada orang lain? Atul sentiasa memandang rendah terhadap Ali.
Hati Atul tidak tertahan lagi melihat
Ali. Meluat hatinya memandang Ali. Bau hapak tubuh Ali membuatkan Atul menjadi
tidak keruan. Tambah-tambah kelihatan liuk-lintuk tubuh Ali seumpama ayam selesai
disembelih yang aksinya bersilat menggelupur di atas tanah. Ali tidak berputus
asa untuk terus mendekati lebih rapat kepada wanita yang dipujanya meskipun
Atul menolaknya beberapa kali. Rakan Ali iaituSuzi memujuk Ali dengan kata-kata
yang lembut agar tidak menyinggung perasaan Ali. Moja pula bertindak menarik
tangan Ali secara perlahan daripada mendekati Atul. Namun Atul berasa pelik
melihat orang-orang yang cuba membantunya daripada terus diganggu Ali. Hanya sekadar
memujuk Ali dengan berkata suara yang lembut lagi halus. “Ali, jangan kacau Atul,
tak baik...” keluar suara pujukan halus dan penuh adab dari Suzi itu. Sungguh
ianya suatu perasaan meluat dalam diri Atul selepas melihat ada juga insan yang
sayang pada Ali yang jijik bagi pandangannya.
Kali ini Atul tidak tertahan lagi kerana melihat sikap Ali yang tidak
berputus asa untuk cuba menghampirinya. Ali beberapa kali menerima tinju kecil
Atul di bahunya. Melihat Ali seperti tidak endahkan tinju kecilnya itu. Sejurus
selepas itu ...... “Pangggggg.....!!!”. Tamparan deras hinggap ke muka Ali. “Haaaa.... kan dah kena tempeleng
dari aku ni, jangan cuba-cuba nak dekat dengan aku, sedarlah diri kau itu.....”
Suara keras dari Atul meluahkan segala-galanya kepada Ali.
Rakan-rakan Atul dan
sekelilingnya terkejut melihat kejadian itu, termasuk teman-teman setia Ali
iaitu Suzi serta Moja. Mereka bingung, marah dan hanya melihat drama itu.
Mereka semua gamam dan terkejut melihat tindakan drastik Atul itu. Atul hanya
ingin bertindak mempertahankan dirinya gangguan Ali. Atul hanya ingin
menunjukkan bahawa betapa wanita tidak boleh dipijak-pijak sesuka hati. Atul
hanya ingin kelihatan seorang feminisme tegar yang ingin memperjuangkan hak-hak
wanita. Tempeleng Atul di muka Ali itu disifatkannya sebagai hak asasi wanita
sejagat yang diperlukan oleh seorang wanita bagi melindungi dirinya dari
kezaliman kaum lelaki. “Jangan biarkan golongan kita ditindas oleh kaum lelaki.” “Kita berhak bebas
mendapatkan apa yang kita mahukan tanpa ada apa-apa sekatan yang menidakkan
hak-hak kita”, “wanita dan lelaki tiada beza !!!”. Itulah bicara Atul kepada
rakan-rakan sejenisnya di satu lokasi rahsia di sekolah pada ketika dahulu yang
memujuk rakannya iaitu Aida yang menangis tatkala ditampar oleh teman
lelakinya. Kononnya Aida bersifat curang terhadap teman lelakinya. Oleh sebab
itulah Atul menjadi seorang yang sangat benci golongan lelaki. Namun begitu
Atul itu tidaklah membenci semua lelaki kerana dia masih mempunyai ayah yang
sangat penyayang. Ayahnya jarang sekali menghampakan perasaan anak gadisnya.
Setiap kali Atul meminta sesuatu yang dimahukannya pasti dapat. Baik dalam
bentuk wang mahupun hadiah.
Cecair merah mendesir laju keluar
dari hidung Ali. Kelihatan negara merah merdeka yang berbentuk lima tanjung
timbul di pipi Ali. Rupa Ali tidak serupa Ali. Ali berwajah beza. Ali daripada
seorang yang kuat perkasa, tidak pernah kenal putus asa tetapi tidak berbadan
sasa menjadi kanak-kanak kecil yang menangis tersedu-sedu. Sejurus itu juga,
Moja sebagai peneman setia Ali melenting, “Hei perempuan!, aku tau kau budak pandai, budak popular, tapi kau tak
boleh suka-suka tampar Ali!, aku tak sangka ada perempuan spesis macam kau ni…”
Moja bersifat hilang sabar tatkala melihat Ali ditampar deras oleh Atul. Suzie
hanya mendiamkan diri dengan berwajah sedih. Suzie hanya menundukkan wajahnya
ke bawah tanpa memandang ketegangan itu berlaku. Barangkali dia tidak tertahan
melihat Ali dianiaya.
“Eh
bocah-bocah iki, sudah-sudah… Apa gaduh-gaduh ni…!!!” kedengaran suara makcik Jamilah selaku pekerja di kantin itu. Hairannya,
tiada pula guru-guru yang makan di kantin ketika itu. Barangkali sibuk di bilik
guru sahaja.
Majoriti mata melihat ketegangan
yang berlaku antara mereka. Hanya mereka menjadi watak utama ketika itu.
Watak-watak orang ramai di sekeliling mereka semuanya tidak berperanan apa-apa.
Hanya Atul, Ali, Moja, Suzie serta makcik Jamilah itu sahaja yang mengecohkan babak itu. Suasana
menjadi hingar-bingar. Atul tidak jadi
untuk berbaris untuk membeli minuman. Atul terus sahaja keluar dari barisan
panjang yang merimaskan itu. Namun Atul tidak pula beredar dari kantin. Ali pula
terus sahaja membawa diri keseorangan dan lesap dari pandangan mereka semua.
Terhincut-hincut Ali melarikan diri daripada pandangan mereka semua. Moja dan
Suzie pula segera mengejar Ali yang sepantas kilat meninggalkan mereka.
Rakan-rakan Atul pula tidak langsung untuk bercampur tangan. Kemudian, semua
mata memerhati Atul dengan mimik muka yang berbeza. Atul bingung melihat mereka
semua. “Apakah
maksud wajah mereka-mereka ini?” Atul berkata dalam hati.
“Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik” akan
berlangsung tidak lama lagi. Cikgu Adie merangkap guru pendidikan muzik di
sekolah itu menjemput Atul untuk membuat persembahan pada majlis tersebut. Atul
berang kerana hanya berbaki lima hari sahaja lagi majlis itu akan berlangsung
baru hendak diberitahu oleh Cikgu Adie supaya mempersembahkan tiga buah lagu.
Lagu yang dimintanya ialah bertemakan tentang perasaan, pendidikan dan kasih
sayang sesama manusia. Tiga lagu yang akan dipersembahkan oleh Atul itu nanti
barangkali tidak dapat dapat dipersembahkan dengan baik kerana persediaan awal
itu kurang. Namun itu tidak menjadi masalah kerana dia sentiasa boleh
menghadapi pelbagai keadaan di saat-saat genting.
Atul kelihatan senang kini kerana
kemana-mana dia pergi, kelibat Ali tidak lagi kelihatan. Atul berasa bebas
hendak bergerak kemana-mana tanpa sebarang gangguan. Mungkin Ali takut atau
menyesal untuk mendekatinya lagi. Hinggapan deras telapak tangan Atul itu
benar-benar mengajar Ali supaya jangan cuba-cuba untuk mendekatinya lagi.
Meskipun ada gangguan oleh pelajar-pelajar lelaki nakal yang cuba untuk
menguratnya, namun tekanan itu tidak sama dengan gangguan dari Ali. Atul tidak
suka melihat manusia yang tidak terurus, selekeh dan tidak pandai menjaga
kekemasan diri seperti Ali.
’Majlis Anugerah Kecemerlangan
Akademik Tahun 2005’ bermula. Ramai hadirin yang datang ke sekolah khususnya
para ibu bapa. Masing-masing berwajah semangat untuk melihat kelancaran majlis
ini. Ada bisik-bisik, bual-bual kosong, berita-berita dan bincang-bincang di
antara mereka itu. Golongan para ibu biasanya bersembang-sembang mengenai
perihal anak mereka masing-masing manakala golongan para bapa senang berbincang
mengenai politik, sukan, dan kerja-kerja seharian.
Majlis besar ini disambut meriah oleh kaum ibu. Kaum ibu kelihatan
bilangannya yang hadir melebihi kaum bapa. Setiap kali majlis yang dianjurkan
oleh sekolah, majoritinya dihadiri oleh kaum ibu. Tidak kira sama ada majlis
anugerah kecemerlangan akademik, hari terbuka sekolah, karnival sekolah mahupun
hari mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kaum ibu nyata lebih
cemerlang jika dibandingkan dengan kaum bapa jika dilihat dari sudut
keprihatinan mereka terhadap anak-anak mereka. Barangkali sifat keibuan itu
yang membantu, jerih payah serta pengorbanan besar ibu itu dalam menjaga
anak-anak mengatasi pengorbanan bapa. Barangkali...
Namun malangnya pada hari besar
itu, ibu bapa Atul tidak dapat hadir kerana sibuk dengan urusan kerjaya
masing-masing.
Atul mula mengatur langkah berani menuju ke pentas sebaik namanya
disebut oleh pengacara majlis. Sorakan, siulan serta tepukan gemuruh diberi
kepada Atul. Atul melangkah dengan penuh yakin serta senyuman dilemparkan
kepada hadirin yang hadir. Sekali lagi sorakan serta siulan yang hangat diberi
kepadanya. Atul berasa gembira kerana dirinya dihargai sebegitu hebat.
Namun fikiran Atul tidak lari dari memikirkan nasib si Ali yang
ditamparnya lima hari yang lalu. “Mana si Ali? Ali tidak kelihatan?.” Mata Atul lari-lari anak mencari
kelibat Ali.
“Mengapa pula tiba-tiba aku teringatkan si budak Ali
selekeh tu?” Atul cuba mengalih fikirannya dari memikirkan Ali. Lantas terus
memikirkan persembahan yang akan dilakukannya nanti.
Sorakan serta tepukan gemuruh yang hebat itu membuatkan perasaan Atul
lebih bersemangat untuk memberikan persembahan yang terbaik. Atul mula perlahan-perlahan
memetik gitar...
Sorakan rakan-rakannya yang menjerit “Atul... I Love U !!!” Sorakan serta siulan
pelajar-pelajar kepada Atul bergema bagaikan burung kelicap bersiul
beramai-ramai di hutan rimba. Diiringi tepukan gemuruh yang maha hebat
diberikan bagaikan meraikan kemenangan mendapat anugerah Juara Lagu. Dewan menjadi sunyi sepi sebaik sahaja Atul
mengalunkan suaranya. Tandanya, hadirin cuba mengapresiasi alunan suaranya yang
merdu mendayu-dayu serta memahami bait lirik. ~ Oh... Begini Rasanya ~ ... ~
Hatiku Sengsara… ~.
Atul meneruskan nyanyian sehingga tamat lagu pertama kemudian
meneruskan untuk lagu kedua. Lagu kedua juga sama seperti lagu pertama. Orang
ramai tetap terpaku melihat persembahan Atul. Tiada sebarang kesilapan.
Segalanya berjalan dengan sempurna. Tanpa masalah teknikal. Kemudian lagu
ketiga pula menyusul.
Tajuk lagu ketiga ialah “Tiada Beza antara Kita”. Lagu ini merupakan lagu gubahan oleh bapanya
dan lirik pula oleh Atul sendiri. Sebelum Atul memulakan persembahan untuk lagu
ketiganya, Atul terlebih dahulu menceritakan sinopsis serta tema lagu tersebut.
Atul menyatakan bahawa tiada beza antara sesama manusia. Manusia itu sama
sahaja. Antara kaya-miskin, tua-muda, serta pangkat dan tidak berpangkat. Semua
sama sahaja. Yang membezakan hanyalah amal serta kebaikan yang dilakukannya.
Manusia berhak mendapatkan kasih sayang tidak kira siapun mereka. Semua manusia
punya diberi kasih sayang tanpa syarat serta diskriminasi oleh mana-mana pihak.
Selesai Atul menceritakan mengenai lagu tersebut, hadirin sekali lagi
memberikan tepukan gemuruh yang lebih hangat serta luar biasa. Sekali lagi
rakan-rakan sekolahnya menjerit bagaikan manusia terkena histeria. “Atul, kami mahu lagi,
cepat !! nyanyi cepat !!”. Guru-guru lainnya tidak dapat mengawal tindakan
pelajar-pelajar sekolah yang menjerit-jerit kerana bilangan ramai mereka. Hanya
cikgu Adie merangkap guru pendidikan muzik tidak kisah mengenai hal itu.
Baginya, sorakan terhadap orang yang diminati merupakan lumrah hati manusia.
Lagu ketiga pula memerlukan Atul menyanyi tanpa diiringi bunyian alatan
muzik mahupun minus one. “~ Ohh... ~, kita ini sama
sahaja ~ Tiada beza antara kita~ ...” Sorakan semakin rancak. Dewan sekali lagi
bagaikan hendak runtuh dek suasana riuh dalam dewan itu. Apabila masuk korus
lagu tersebut. Tiba-tiba...
Atul terkedu senyap, otaknya diam
sahaja, dan badan Atul membisu kaku. Hadirin di hadapannya hanya melihat badan
Atul terkedu umpama robot yang mati fungsinya. Mata Atul kelihatan terbeliak
kejut. Wajahnya mempamerkan suatu perasaan yang tidak selesa pada mata hadirin.
Lalu Atul terus melutut canguk diam di atas pentas. Seakan-akan rasa bersalah
terpamer diwajahnya. Tiba-tiba, kisah lima hari yang lalu melintasi fikiran
separa sedarnya. Atul mengingatkan dosanya terhadap Ali. Atul berasakan dirinya
manusia yang sangat kaya dengan hipokrasi.
Nyanyian terhenti selama tiga minit. Rakan-rakan mula mencebiknya. “Boooo .... Booooo
......”. Atul berasa terhina akibat hinaan itu. Para guru serta pentadbir
sekolah malu melihat kejadian ini. Majlis yang sepatutnya meriah menjadi diam
kaku. Atul seakan-akan hilang idea untuk menyanyi lagu ketiga itu. Lupa lirik
menjadi masalah utama Atul untuk meneruskan nyanyiannya. Sumpahan Ali? Tidak
... Sumpah menyumpah umpamanya disumpah menjadi batu adalah khurafat sahaja
pada fikiran atul. Cerita Nakhoda Tanggang sebagai modelnya. Memandangkan lagu
tersebut tidak diiringi sebarang bunyian, Atul berasa itu menjadi faktor dia
tidak dapat membawa lagu tersebut dengan baik. Barangkali ini merupakan satu
hukuman terhadapnya. Hukumannya yang menganiaya Ali. Kata Cikgu Kamalullail
pada perhimpunan rasmi tempoh hari, doa orang dianiaya tidak ditolah Allah.
Makbul. Lagu itu seakan-akan mengajarnya agar jangan bersikap kepura-puraan.
“Arghhh... Aku tidak peduli. Ali tetap beza dengan
aku”, bentak hati Atul yang sangat keras begitu. Atul hanya mendiamkan diri
tidak meneruskan lagu ketiga itu. Atul berlagak seperti patung Barbie terdiam
membisu di atas pentas. Kelihatan cikgu Adie memberi isyarat tangan berulang
kali kepada Atul agar terus mempersembahkan lagu ketiga itu. Namun Atul terdiam
juga. Kali ini bukan sorakan serta tepukan yang didengari oleh Atul tetapi
cercaan yang berbunyi hina terdengar di telinga Atul. ”Wei... dah lupa lirik
cepat-cepat berambuslah wei ...” Atul semakin lemah semangat. Hatinya yang
selama ini kuat menjadi lembik. Tidak terdaya lagi untuk Atul menanggung
tekanan ini.
Rakan-rakan di hadapan Atul bersuara
pelbagai bunyi dan perkataannya. Tanda melahirkan rasa tidak puas hati terhadap
persembahan Atul untuk lagu ketiga itu. Sejurus itu, seorang lelaki yang
berkulit cerah kusam kelihatan keluar dari celahan himpunan pelajar yang ramai
itu. Pelajar lelaki itu melangkah sederhana menuju ke luar dewan dan memetik
seuntai bunga di taman sekolah. Lalu pelajar lelaki itu melangkah masuk semula
ke dewan iaitu dari hujung pintu belakang dewan terus sahaja ke arah pentas.
Dewan sekolah itu tidaklah besar dan lebar amat tetapi sangat panjang jika
diambil kira dari dewan hadapan hingga ke pintu belakang. Lalu kemudiannya, pelajar lelaki tersebut
melangkah terengsot-engsot menuju ke pentas sambil memegang bunga di tangannya.
Setiap langkah pelajar lelaki itu diperhati oleh setiap hadirin
disebelahnya termasuk bapanya yang hadir. Semasa pelajar lelaki itu menuju ke
arah pentas keseorangan dari hujung dewan, tiada mata yang terkecuali memandang
kecuali cikgu Mohad yang bertindak sebagai jurukamera video di hadapan. Cikgu
Mohad Sang Perakam Video itu tetap setia
dengan tugasnya yang mengambil video untuk koleksi sekolah.
Pelajar lelaki itu meneruskan langkah dengan menaiki ke arah pentas dan
menuju ke arah Atul. Ketika itu hadirin yang melihat nyata bingung apakah
sebenarnya yang terjadi. Sepanjang pelajar lelaki tersebut bergerak ke arah
Atul, dia sedaya upaya menutup mukanya dengan kain buruk putih yang sudah
kekuningan. Mata-mata yang memerhati termasuk guru-guru hanya memerhati sahaja
tingkah laku pelajar lelaki itu yang naik ke pentas dan menuju ke arah Atul
yang melutut diam di atas pentas. Sesudah pelajar lelaki itu tiba di atas
pentas, dia membuka wajahnya.
Ali!
Rakan-rakannya sahaja tahu pelajar lelaki itu Ali, tetapi kebanyakan
tidak tahu. Langsung guru-guru tidak menghalang perbuatan Ali termasuk guru
kelas Ali iaitu cikgu Fadlika. Cikgu Fadlika tahu benar sikap Ali. Ali seorang
yang kurang sempurna akalnya. Ali sepatutnya ditempatkan di kelas pendidikan
khas. Namun bapa Ali berkeras mahukan anaknya itu bercampur gaul dengan manusia
yang sempurna sifatnya. Alasannya agar Ali itu tidak berasa tersisih dan
menjadi biasa bercampur dengan orang yang sempurna. Ali seorang yang tidak
pernah mengenali ibunya, kerana ibunya meninggal dunia sewaktu dia berumur
seawal dua tahun. Bapannya hanyalah bekerja sebagai tukang urut tradisional.
Menduda hampir 19 tahun lamanya.
Barangkali tindakan guru-guru tidak menghalang Ali itu disebabkan mereka
berfikir kemungkinan ianya telah dirancang oleh Atul sendiri iaitu sebagai
gimik untuk persembahan. Para penonton yang menyaksikan watak mereka berdua
hanya berbisik-bisik sesama mereka yang tidak pasti apakah bisikan mereka.
Atul hanya berdiam seribu bahasa di
atas pentas dengan meletakkan mukanya ke ke arah di antara lututnya dengan kedua
kakinya dikatup rapat ke badan. Gayanya seperti seorang yang terlalu kecewa
dalam hidup dan tidak mahu hidup di atas muka bumi ini. Tidak lama selepas itu
Atul mendengar desiran langkah-langkah gagah menuju kearahnya. “Siapa? Cikgu Adie...?.
Hati Atul berkata.
“Jangan! Aku hendak duduk diam-diam sahaja kat
sini, jangan ada sebarang gangguan terhadap aku!!.” Atul berbisik dalam hati
dan mengharapkan begitu.
Atul hendak menenangkan dirinya. Tidak tertahan hatinya. Dia tidak
sanggup menghadapi tekanan seberat gunung ini. Dia sangat-sangat benci keadaan
dirinya pada hari itu. Benar-benar dia berasakan dihukum setimpal dengan
perbuatannya yang lalu.
“Atul, timela ini... A... a... a... Ali syuka kat
Atul. Bi...bik...bik... Biarlah diorang benci Atul... Ta.. ta.. tapi Ali
syokong kat Atul.....”, kedengaran suara yang amat pelat dan gagap itu di
sebelah telinganya. Benar-benar dekat ditelinganya. Atul sangat-sangat terkejut
mendengar suara itu. Pertama kali dia mendengar suara demikian beza bunyinya. “Ali...?, nama yang
didengarnya itu tadi Ali? Benarkah ini suara Ali yang baru ditempelengnya pada
lima hari yang lepas?” dia tidak percaya.
Atul masih tidak mendongak muka dari antara kedua lututnya. Atul
langsung tidak menoleh ke arah suara di sebelahnya. Atul tidak tertahan lagi.
Berapa lama dia harus duduk membisu begitu. Dia cuba mencuri-curi pandangan ke
sebelah kanannya.
“Sah, ternyata Ali!”.
Atul terus mendongak mukanya dan memandang tepat ke wajah Ali. Masih
terdapat birat di pipi Ali, iaitu bekas tamparannya. Anehnya Ali membalas
dengan ukiran senyuman. Seolah-olah langsung tiada perasaan dendam di wajahnya.
Ali seakan lupa kejadian yang menimpanya pada lima hari yang lalu.
“Atul, amekla bub… bub… bub… bunga ni… Bunga kek..kekkk … bunga kertas
untuk Atul. Ali tik… tik… tidak marah Atul…”. Ali bersuara tergagap-gagap.
Sukar benar Ali hendak bersuara. Atul terkejut tatkala dia menoleh wajah yang
bersuara itu. Ia benar-benar adalah Ali. Makhluk yang ditempeleng deras
olehnya.
Ali memberi seuntai bunga kertas berwarna putih
yang sudah tanggal satu kelopaknya. Berkemungkinan semasa Ali mencabutnya, ia
direntap dengan kasar dan berlaku secara tergesa-gesa. Mungkin sebab itulah
bunga itu berupa demikian. Meskipun ia sekadar bunga kertas yang kurang sempurna
sifatnya dan kurang komersial; tidak seperti bunga ros, orkid, kekwa, dahlia,
tulip, dan bunga-bunga komersial yang lain. Namun begitu, simbol bunga kertas
putih yang kurang sempurna itu juga menggambarkan simbol kesederhanaan
seseorang yang bersifat suci hatinya. Tidak mengapalah ianya bukan bunga yang
cantik serta mahal tetapi yang penting ia dapat menghadirkan kebahagiaan dan
kasih sayang yang seikhlasnya.
“Ya Allah, apa semuanya ini. Ali? Ini Ali…..”
menggigil badan Atul serta kata-katanya terketar-ketar. Nada suaranya penuh
dengan kekesalan yang amat.
“Aku rasa berdosa, aku kejam !!! aku zalim
terhadap Ali. Rupanya Ali ini budak cacat. Ali budak istimewa. Dia tidak tahu
apa-apa. Mengapa aku bertindak kejam terhadapnya??? Kenapa??? Aku kejammm,
Kejammmm!!” Atul menangis tetapi ditahannya juga suara tangisannya daripada
didengari oleh para hadirin di hadapan. Atul menutup mukanya dengan kain muka
bagi mengelak hadirin mengetahui situasi sebenar yang berlaku. Hadirin yang
melihat tingkah laku mereka berdua di atas pentas itu hanya membisu bagaikan
ada jemaah malaikat melintas di hadapan mereka. Mereka semua tidak tahu menahu
apa yang berlaku. Apa yang pasti, rakan-rakan Atul, Lee Pei, Moja, Suzie dan
para pelajar lain-lain yang pernah menyaksikan babak aksi Atul dan Ali di
kantin pada lima hari yang lalu sahaja yang mengetahui peristiwa sebenar.
Rakan-rakan Atul dan Ali turut menangis. Sekeliling mereka tidak memahami
cerita sebenar.
Atul
seorang yang sangat tabah dan kuat jiwanya. Bukan wanita yang lemah dan lembik.
Seharusnya sifat sebenar Atul bukanlah bersifat begini. Dia tidak sesekali
membiarkan dirinya terus dilambung dan dihanyut ombak. Atul bingkas bangun
berdiri teguh dengan wajah berani serta semangat yang baru. Atul kembali
mengukir senyuman paksa kepada penonton dihadapan. Sorakan hadirin kembali
bergema. Sorakan kali ini bukan sorakan seperti sebelum-sebelumnya tetapi
sorakan yang penuh dengan kekuatan hayunan sayap garuda yang sukar hendak
digambarkan dengan kata-kata. Tidak keterlaluan jika dikatakan sorakan dan
tepukan kali ini umpama gambaran di dataran merdeka sempena hari pengistiharan
kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Lirik-lirik lagu dan bait-bait lagu
bertali arus datang dalam kepala Atul. Atul berasa pelbagai idea hebat yang
masuk dalam kepalanya. Serba-serbi kekreatifan untuk persembahan lagu ketiga
ini hadir dalam benak fikirannya.
Lalu Atul menyuruh Ali berpusing-pusing
mengelilinginya. “Ali, joget Ali, joget…” Ali berjoget mengelilingi Atul. Atul
terus melontarkan suaranya. “~ Oh… Antara kita tiada bezanya, ~ Sesama kita,
bantu-membantu… ~” Atul menyanyi sambil memandang-mandang Ali dan sesekali
memandang penonton. Pergerakan Atul tidak hanya statik pada satu tempat malah
menguasai keseluruhan tapak pentas sambil melambai-lambai hadirin. Sorakan
serta tepukan guruh gemuruh penonton terus didapati. Ali hanya menari-nari
sambil bermain-main dengan kain buruk putih kekuningannya itu di atas pentas
tanpa rasa segan dan silu. Ali berperanan sebagai penghibur terbaik ketika itu.
Ali hanya tahu berseronok kerana dapat bersama-sama dengan Atul di atas pentas
itu. Para ibu bapa dan warga sekolah yang
melihat persembahan mereka sesekali tidak menyangkakan persembahan yang
berbentuk sebegini. Wajah yang paling berbangga ketika itu ialah bapa Ali,
Cikgu Adie serta Cikgu Fadlika. Mereka langsung tidak tahu. Mereka benar-benar
memikirkan tindakan Atul mendiamkan diri itu sebagai gimik. Meskipun sebenarnya
ia tidak dirancang oleh Atul. Ia berlaku dengan tidak diminta. Inilah kuasa
Yang Maha Esa.
“Ali, maafkan Atul…”. Atul menangis tanpa
menyembunyikan wajahnya setelah tamat lagu terakhir itu. Biarlah rakan-rakannya
mengetahui yang dia boleh menangis meskipun sebelum ini dia sangat keras dan
kerapkali menolak untuk menangis di hadapan rakan-rakan. Kali ini Atul
benar-benar menjadi perempuan. Perempuan sebenar yang tidak bersifat terlalu
egois. Ali kemudiannya mengesat air mata Atul yang berjurai-jurai keluar dari
kedua kelopak mata Atul dengan jari-jemarinya yang panjang itu, dengan ekspresi
wajah nerd itu. “Ali sungguh baik,
Atul jahatkan… Maafkan Atul. Atul janji… lepas ni kita boleh berkawan baik”
Atul mengeluarkan jari kelingking sebagai simbol pengisytiharan menjadi kawan baik kepada Ali. Ali pun turut
berbuat perkara yang sama seperti Atul. Penonton yang melihat persembahan
mereka hanya senyap bisu tanpa berkata apa-apa kerana melihat khusyuk terhadap
mereka berdua, Sesekali penonton berbisik-bisik sesama mereka. Segelintir
penonton menangis apabila melihat Atul yang berwajah hiba.
Penonton yang melihat persembahan mereka itu
hanya melihat mesej lagu yang ingin disampaikan iaitu Tiada Beza Antara Sesama Manusia. Mereka mengandaikan persembahan
yang dipersembahkan oleh Atul itu terdapat dua watak iaitu watak sempurna
diwakili Atul dan Ali sebagai watak manusia istimewa. Persembahan mereka itu
benar-benar memberi kesan jiwa yang hebat kepada penonton. Akhir persembahan,
hampir keseluruhan penonton yang melihat persembahan mereka menangis.
Yang anehnya, perasaan geli Atul terhadap
makhluk disebelahnya itu tiba-tiba sahaja lenyap. Bau busuk Ali tiba-tiba
menjadi wangi. Entah apa penangan yang dibawa oleh Ali ketika itu langsung
tidak diketahui oleh Atul. Seolah-olah Atul kini berlainan benar dengan Atul pada
lima hari yang
lalu. Babak antara Atul dan Ali ketika ini sangat berbeza. Dulu lain, sekarang
lain. Atul menyesal tindakannya dahulu. Dia berjanji untuk tidak
mendiskriminasi sesiapa dan tidak memilih bulu. Meskipun dia dilahirkan
sempurna sifat fizikal dan mental serta anak orang kaya, tetapi manusia yang
kurang sempurna sifat seperti Ali kaya dengan sifat kasih sayang. Atul kagum
melihat Ali.
Menjadi orang terkenal, kebijaksanaan akal,
kecantikan wajah, kekayaan harta benda, serta keturunan yang hebat bukanlah
kebahagiaan segala-galanya. Namun sebaliknya kebahagiaan dalam hati menjadi
kebahagiaan hakiki yang perlu dimiliki setiap insan.
Sesungguhnya, peristiwa tempeleng dari Atul
terhadap Ali tetapi dibalas dengan bunga kertas oleh Ali menjadi pengajaran
serta pengalaman bermakna buat Atul. Atul akan mencatatkan peristiwa ini dalam
diari kehidupannya. Peristiwa ini menjadi sejarah hidup yang tidak akan
dilupakannya. Sesekali tidak akan dilupakannya. Biarlah ia menjadi peringatan
buatnya untuk masa-masa hadapan. Kesemua penonton yang terdiri daripada ibu
bapa dan warga sekolah berdiri memberikan tepukan gemuruh setelah selesai
persembahan terakhir Atul yang ternyata
memukau.
Putera Mohd Nazree
Bin Abdul Razak
(5:25 PM / 8 APRIL
2010)
Edit Terkini: 28/9/2012