Neon Bintang: Menyuluh Kepekatan Malam

Sukanya aku melihat alam terbentang luas. Cerahnya matahari, cantiknya bulan, lawanya bintang-bintang, indahnya pelangi, seronoknya percikan hujan, heningnya bukit-bukau, pesonanya gunung-gunang, sejuknya hembusan pawana dan Aku bersaksi hanya Dia-lah Allah yang menciptakan segala alam ini.



Tempeleng VS Bunga Kertas


Selesai perhimpunan rasmi pada hari isnin. Perhimpunan yang dibarisi hampir 1,500 pelajar dan 70 guru. Sekolah itu dikategorikan dalam sekolah Gred A. Atul tidak pernah suka berdiri lama di perhimpunan rasmi itu. Dalam fikirannya, bila mahunya habis perhimpunan yang difikirnya tidak perlu. Asyik-asyik mendengar bebelan guru yang bertugas pada minggu lepas. Isu-isu yang kerap kali dibangkitkan seperti pembuangan sampah makanan di merata-rata, berebut membeli makanan dan isu rokok yang dijumpai dalam tandas pelajar lelaki. Atul sudah mengira pada setiap kali perhimpunan rasmi yang tidak pernah dirasmikan itu hanya menyentuh isu-isu yang bersifat lapuk, tidak modernisme, ortodoks, dan konservatif. Pada fikiran Atul, waktu bilakah guru-guru ini mahu menyentuh isu-isu kebajikan pelajar, kem-kem motivasi untuk pelajar, program-program untuk bina jati diri pelajar, dan paling dimahukannya, pertandingan menyanyi di sekolah. Sememangnya Atul sangat punyai bakat dalam seni suara.

 Atul seorang pelajar di kelas 5A iaitu kelas yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang hebat dalam menjawab soalan peperiksaan. Seorang perempuan yang bijak, berkarisma, mempunyai bakat menyanyi dan pandai bermain alat muzik. Ibu bapa Atul seorang yang bekerjaya tinggi. Bapanya seorang pengarah studio kelas muzik di ibu kota manakala ibunya seorang pensyarah di bidang teater. Ibu bapanya merupakan orang seni dan darah seni itu turun kepada anak perempuannya iaitu Atul.

  Sememangnya Atul digilai ramai pelajar-pelajar lelaki. Berbondong-bondong mesej di telefon bimbitnya  masuk pada setiap hari dan malangnya satu nombor pun tidak pernah dikenali. Dia berfikir, macam mana mereka boleh dapat nombor telefon aku ni?”. Bahkan ada sesetengah itu, pelajar perempuan juga ingin menjadikannya teman yang bukan sekadar teman biasa tetapi teman yang luar biasa. Atul sentiasa berbangga mesej yang banyak itu tetapi satu pun tidak pernah diendahkannya. Bukankah aku ni umpama artis? Perlulah aku jual mahal...” Hati Atul bongkak berkata begitu.

            Biarpun dalam sekolah Atul sentiasa diperhati dan menjadi perhatian rakan-rakannya yang lain. Atul tetap tegak dengan pendiriannya untuk tidak menyukai mana-mana lelaki. Sebelum ini Atul pernah dikecewakan oleh teman lelakinya yang empat tahun lebih tua daripadanya ketika dia berusia 15 tahun. Selepas sahaja teman lelakinya mendapat tawaran belajar ke universiti, tidak sampai tiga minggu, teman lelakinya memutuskan hubungan tidak rasmi mereka yang sudah terjalin selama hampir 365 hari. Alasan yang teman lelaki Atul itu berikan ialah hendak fokus pada pelajaran, dan tidak mahu hampakan hasrat ibu bapa”. Atul berpendapat alasan itu alasan sangat jijik. Alasan yang sudah biasa didengar dari pengalaman rakan-rakan perempuannya yang lain tatkala mereka dilepaskan oleh teman lelaki masing-masing. Atul sangat benci lelaki yang hipokrit, kerana dia ketika itu mendapat maklumat bahawa bekas teman lelakinya itu sudah mempunyai teman wanita di tempat pengajiannya. Atul sangat benci pada golongan lelaki yang cuba mempermainkan golongan wanita. Jikalau ada pelajar lelaki lain mengata dia sombong, dia tidak kisah. Seorang benci aku, sepuluh suka aku, 100 benci aku, 10, 000 orang suka aku”. Tegasnya.
Atul sentiasa memerhatikan seorang pelajar lelaki pelik yang sentiasa mengekorinya. Kulit budak lelaki itu putih pucat umpama mayat, hidung mancung bak ikan todak, dan rambut keriting bagaikan tepung maggi. Pakaian budak lelaki itu berwarna kekuningan seakan direndam terlalu lama dalam besen basuh. Bau busuk badannya dan hingusnya yang pekat kehijauan sesekali keluar dari kedua lubang hidungnya. Menggambarkan betapa lelaki ini tidak ingin didekati oleh sesiapa kecuali dua kawan karibnya iaitu Moja dan Suzie. Moja dan Suzie sentiasa setia menemani lelaki itu. Sedangkan Atul geli benar melihat pelajar lelaki itu. Jijik ...

Atul mendapat khabar nama budak lelaki itu Ali. Ali berada di kelas 5N. Kelas di hujung sekali. Kelas Budak Bodoh” pada fikiran Atul. Budak-budak yang bakal menghancurkan negara, tiada ciri-ciri kepimpinan dan pergi ke sekolah hanya tahu membuang duit ibu bapa, manusia-manusia sebeginilah yang akan merosakkan sosio-budaya masyarakat” menurut pandangan Atul. 

Mendengar berita dari rakan-rakannya, Ali merupakan budak baik dan tidak pernah menyakiti hati orang lain. Manusia yang tidak pernah mempedulikan hal orang lain. Tetapi apa aku peduli, selekeh betul aku tengok mamat tu, dahla pengotor, busuk, tak pernah mandi ke?” Atul sering berfikir negatif terhadap Ali.

            Banyak-banyak mata yang sentiasa memerhatikan Atul dalam sekolah itu, dia bencikan pandangan Ali. Wajah Ali langsung tidak komersial. Mata kuyu dan bibir yang dimuncungkan membentuk huruf U” terbalik menghadirkan perasaan meluat Atul terhadap Ali. Ali kerap curi-curi melihatnya. Ali gemar melihat Atul dan sangat meminati Atul. Ali tertawan mendengar suara Atul menyanyi semasa majlis penyampaian kecemerlangan akademik pada tahun lepas. Atul seorang penghibur yang baik. Setiap kali waktu rehat, Ali akan mengekori Atul kemana sahaja Atul tuju. Atul tidak menyedari akan dirinya yang sentiasa diekori oleh Ali sebelum ini.  Dia hanya mengetahui setelah rakannya yang berbangsa Tiong Hua iaitu Lee Pei berkata padanya Ali sentiasa memerhatikan gerak-geri awak”. Ketika detik itulah Atul sangat berhati-hati dan menjaga setiap pergerakan dan posture badan semasa berjalan. Tapi, untuk apa aku berjalan sebagai model catwalk ketika diperhati oleh dia? Budak itu bukan tahu apa pun?” Atul hanya berfikir Ali itu sangat bodoh orangnya.

            Jam menunjukkan 10:20 pagi menandakan waktu rehat bermula. Atul menjaga langkahnya agar tidak menjadi bahan umpatan orang. Dia sentiasa menjaga langkahnya agar tidak kelihatan buruk dipandangan orang lain. Maklumlah, pelajar paling glamour di sekolah. Mujur dia sentiasa dikelilingi rakan-rakan yang menutupnya dari menjadi perhatian pelajar-pelajar lain.

Ali tidak diketahui asal-usulnya. Siapa ibu bapanya tidak diketahui oleh Atul. Melainkan Atul bertanya sendiri pada rakan-rakan Ali di kelasnya, barulah dia berkemungkinan tahu asal-usulnya. Hendak tahu halnya untuk apa? Tak perlu kot....” Atul tidak gemar untuk mengambil tahu hal orang lain. Cukuplah orang lain mengambil tahu hal dirinya.

            Berbaris-baris pelajar untuk membeli minuman yang berharga 50 sen itu. Ada air anggur, air oren, air sirap dan air limau. Atul dan rakan-rakan turut berbaris untuk membeli minuman. Barisan pelajar lelaki dan pelajar perempuan berasingan. Kelihatan Ali di sebelah barisan pelajar perempuan untuk membeli minuman. Besi penghadang barisan pelajar perempuan itu menjadi penghalang Ali untuk terus merapati pelajar-pelajar perempuan.

Ali cuba melihat Atul dari dekat. Atul serba tidak selesa dan tidak tentu arah. Perasaan yang berdebar-debar, jantung bagai dicucuk-cucuk jarum benang, dan muka Atul kelihatan menarik tinggi. Mata Atul mengecil jijik, pipi mengembang jelik  dan bibir Atul menongkat naik geli melihat Ali. Menggambarkan betapa bencinya dia terhadap Ali yang serupa siamang liar di hutan.

Pergilah budak serabai, pergilah.....”, Aku tak nak hingus kau meleleh kat baju bersih aku ni” Atul bersuara kuat tetapi agak terkawal daripada menjadi perhatian sekeliling. Rakan-rakannya hanya diam seribu bahasa. Ali tetap perkasa dan berdiri teguh untuk cuba menghampiri Atul iaitu perempuan yang lama diminatinya. Pergilahhhhhhhh !!!!!!!!! Atul menjerit sekuat hati. Tangan Atul menolak kuat si Ali. Ali tetap tidak berganjak dan terus mara ke hadapan dengan semangat waja. Semua mata memerhati Atul, bukan pada perbuatan Ali yang cuba menghampirinya. Meskipun Ali tidak cuba menyentuh, mengganggu atau sekadar cuba menghampirinya, Atul tetap berang dengan ketidakpedulian orang lain terhadapnya.
Atul berasa tidak senang dan secara jujurnya sangat jijik terhadap Ali. Rakan-rakannya juga tidak melindunginya. Atul berpendapat orang lain tidak mengasihaninya, termasuk rakan-rakannya. Mengapa?, kenapa orang lain tengokkan sahaja?”, bodohnya mereka ini?,  Mereka kasihan kat aku atau budak hingusan Ali?” semua itu menjadi persoalan yang bermain di fikiran Atul. Atul bingung, bengang, malu, marah dan segala perasaanya menjadi bercampur-baur.

Menjadi keanehannya ialah, Atul berasa kali ini lain benar sekeliling memerhatikannya. Selama ini Atul berasa jika orang lain melihatnya akan penuh dengan kegaguman serta keterujaan. Namun sebaliknya, perhatian orang lain terhadap Atul berbeza apabila dia bersemuka dengan Ali. Ada apa dengan si Ali budak busuk ni, apa keistimewaannya?” Itulah kata hati Atul setiap kali melihat Ali. Langsung tiada kelebihan yang dilihatnya pada diri Ali. Atul sentiasa berasa diri dia lebih sempurna dari Ali. Seharusnya orang lain lebih memerhatikan dia berbanding Ali. Atul boleh menghiburkan orang lain dengan suaranya yang lunak, sekurang-kurangnya ada juga peranan dan jasanya kepada orang lain. Boleh jadi orang yang sedang berduka lara pun menjadi riang apabila mendengar suara Atul mendendangkan lagu yang syahdu. Tetapi Ali? Apa jasanya pada orang lain? Atul sentiasa memandang rendah terhadap Ali.

            Hati Atul tidak tertahan lagi melihat Ali. Meluat hatinya memandang Ali. Bau hapak tubuh Ali membuatkan Atul menjadi tidak keruan. Tambah-tambah kelihatan liuk-lintuk tubuh Ali seumpama ayam selesai disembelih yang aksinya bersilat menggelupur di atas tanah. Ali tidak berputus asa untuk terus mendekati lebih rapat kepada wanita yang dipujanya meskipun Atul menolaknya beberapa kali. Rakan Ali iaituSuzi memujuk Ali dengan kata-kata yang lembut agar tidak menyinggung perasaan Ali. Moja pula bertindak menarik tangan Ali secara perlahan daripada mendekati Atul. Namun Atul berasa pelik melihat orang-orang yang cuba membantunya daripada terus diganggu Ali. Hanya sekadar memujuk Ali dengan berkata suara yang lembut lagi halus. Ali, jangan kacau Atul, tak baik...” keluar suara pujukan halus dan penuh adab dari Suzi itu. Sungguh ianya suatu perasaan meluat dalam diri Atul selepas melihat ada juga insan yang sayang pada Ali yang jijik bagi pandangannya.

Kali ini Atul tidak tertahan lagi kerana melihat sikap Ali yang tidak berputus asa untuk cuba menghampirinya. Ali beberapa kali menerima tinju kecil Atul di bahunya. Melihat Ali seperti tidak endahkan tinju kecilnya itu. Sejurus selepas itu ...... Pangggggg.....!!!”. Tamparan deras hinggap ke muka Ali. Haaaa.... kan dah kena tempeleng dari aku ni, jangan cuba-cuba nak dekat dengan aku, sedarlah diri kau itu.....” Suara keras dari Atul meluahkan segala-galanya kepada Ali.

 Rakan-rakan Atul dan sekelilingnya terkejut melihat kejadian itu, termasuk teman-teman setia Ali iaitu Suzi serta Moja. Mereka bingung, marah dan hanya melihat drama itu. Mereka semua gamam dan terkejut melihat tindakan drastik Atul itu. Atul hanya ingin bertindak mempertahankan dirinya gangguan Ali. Atul hanya ingin menunjukkan bahawa betapa wanita tidak boleh dipijak-pijak sesuka hati. Atul hanya ingin kelihatan seorang feminisme tegar yang ingin memperjuangkan hak-hak wanita. Tempeleng Atul di muka Ali itu disifatkannya sebagai hak asasi wanita sejagat yang diperlukan oleh seorang wanita bagi melindungi dirinya dari kezaliman kaum lelaki. Jangan biarkan golongan kita ditindas oleh kaum lelaki.” Kita berhak bebas mendapatkan apa yang kita mahukan tanpa ada apa-apa sekatan yang menidakkan hak-hak kita”, wanita dan lelaki tiada beza !!!”. Itulah bicara Atul kepada rakan-rakan sejenisnya di satu lokasi rahsia di sekolah pada ketika dahulu yang memujuk rakannya iaitu Aida yang menangis tatkala ditampar oleh teman lelakinya. Kononnya Aida bersifat curang terhadap teman lelakinya. Oleh sebab itulah Atul menjadi seorang yang sangat benci golongan lelaki. Namun begitu Atul itu tidaklah membenci semua lelaki kerana dia masih mempunyai ayah yang sangat penyayang. Ayahnya jarang sekali menghampakan perasaan anak gadisnya. Setiap kali Atul meminta sesuatu yang dimahukannya pasti dapat. Baik dalam bentuk wang mahupun hadiah.

            Cecair merah mendesir laju keluar dari hidung Ali. Kelihatan negara merah merdeka yang berbentuk lima tanjung timbul di pipi Ali. Rupa Ali tidak serupa Ali. Ali berwajah beza. Ali daripada seorang yang kuat perkasa, tidak pernah kenal putus asa tetapi tidak berbadan sasa menjadi kanak-kanak kecil yang menangis tersedu-sedu. Sejurus itu juga, Moja sebagai peneman setia Ali melenting, “Hei perempuan!, aku tau kau budak pandai, budak popular, tapi kau tak boleh suka-suka tampar Ali!, aku tak sangka ada perempuan spesis macam kau ni…” Moja bersifat hilang sabar tatkala melihat Ali ditampar deras oleh Atul. Suzie hanya mendiamkan diri dengan berwajah sedih. Suzie hanya menundukkan wajahnya ke bawah tanpa memandang ketegangan itu berlaku. Barangkali dia tidak tertahan melihat Ali dianiaya.
            “Eh bocah-bocah iki, sudah-sudah… Apa gaduh-gaduh ni…!!!” kedengaran suara  makcik Jamilah selaku pekerja di kantin itu. Hairannya, tiada pula guru-guru yang makan di kantin ketika itu. Barangkali sibuk di bilik guru sahaja.

 Majoriti mata melihat ketegangan yang berlaku antara mereka. Hanya mereka menjadi watak utama ketika itu. Watak-watak orang ramai di sekeliling mereka semuanya tidak berperanan apa-apa. Hanya Atul, Ali, Moja, Suzie serta makcik Jamilah itu  sahaja yang mengecohkan babak itu. Suasana menjadi hingar-bingar.  Atul tidak jadi untuk berbaris untuk membeli minuman. Atul terus sahaja keluar dari barisan panjang yang merimaskan itu. Namun Atul tidak pula beredar dari kantin. Ali pula terus sahaja membawa diri keseorangan dan lesap dari pandangan mereka semua. Terhincut-hincut Ali melarikan diri daripada pandangan mereka semua. Moja dan Suzie pula segera mengejar Ali yang sepantas kilat meninggalkan mereka. Rakan-rakan Atul pula tidak langsung untuk bercampur tangan. Kemudian, semua mata memerhati Atul dengan mimik muka yang berbeza. Atul bingung melihat mereka semua. Apakah maksud wajah mereka-mereka ini?” Atul berkata dalam hati.

            Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik” akan berlangsung tidak lama lagi. Cikgu Adie merangkap guru pendidikan muzik di sekolah itu menjemput Atul untuk membuat persembahan pada majlis tersebut. Atul berang kerana hanya berbaki lima hari sahaja lagi majlis itu akan berlangsung baru hendak diberitahu oleh Cikgu Adie supaya mempersembahkan tiga buah lagu. Lagu yang dimintanya ialah bertemakan tentang perasaan, pendidikan dan kasih sayang sesama manusia. Tiga lagu yang akan dipersembahkan oleh Atul itu nanti barangkali tidak dapat dapat dipersembahkan dengan baik kerana persediaan awal itu kurang. Namun itu tidak menjadi masalah kerana dia sentiasa boleh menghadapi pelbagai keadaan di saat-saat genting.

            Atul kelihatan senang kini kerana kemana-mana dia pergi, kelibat Ali tidak lagi kelihatan. Atul berasa bebas hendak bergerak kemana-mana tanpa sebarang gangguan. Mungkin Ali takut atau menyesal untuk mendekatinya lagi. Hinggapan deras telapak tangan Atul itu benar-benar mengajar Ali supaya jangan cuba-cuba untuk mendekatinya lagi. Meskipun ada gangguan oleh pelajar-pelajar lelaki nakal yang cuba untuk menguratnya, namun tekanan itu tidak sama dengan gangguan dari Ali. Atul tidak suka melihat manusia yang tidak terurus, selekeh dan tidak pandai menjaga kekemasan diri seperti Ali.

            ’Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Tahun 2005’ bermula. Ramai hadirin yang datang ke sekolah khususnya para ibu bapa. Masing-masing berwajah semangat untuk melihat kelancaran majlis ini. Ada bisik-bisik, bual-bual kosong, berita-berita dan bincang-bincang di antara mereka itu. Golongan para ibu biasanya bersembang-sembang mengenai perihal anak mereka masing-masing manakala golongan para bapa senang berbincang mengenai politik, sukan, dan kerja-kerja seharian.

Majlis besar ini disambut meriah oleh kaum ibu. Kaum ibu kelihatan bilangannya yang hadir melebihi kaum bapa. Setiap kali majlis yang dianjurkan oleh sekolah, majoritinya dihadiri oleh kaum ibu. Tidak kira sama ada majlis anugerah kecemerlangan akademik, hari terbuka sekolah, karnival sekolah mahupun hari mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kaum ibu nyata lebih cemerlang jika dibandingkan dengan kaum bapa jika dilihat dari sudut keprihatinan mereka terhadap anak-anak mereka. Barangkali sifat keibuan itu yang membantu, jerih payah serta pengorbanan besar ibu itu dalam menjaga anak-anak mengatasi pengorbanan bapa. Barangkali...

 Namun malangnya pada hari besar itu, ibu bapa Atul tidak dapat hadir kerana sibuk dengan urusan kerjaya masing-masing.

Atul mula mengatur langkah berani menuju ke pentas sebaik namanya disebut oleh pengacara majlis. Sorakan, siulan serta tepukan gemuruh diberi kepada Atul. Atul melangkah dengan penuh yakin serta senyuman dilemparkan kepada hadirin yang hadir. Sekali lagi sorakan serta siulan yang hangat diberi kepadanya. Atul berasa gembira kerana dirinya dihargai sebegitu hebat.
Namun fikiran Atul tidak lari dari memikirkan nasib si Ali yang ditamparnya lima hari yang lalu. Mana si Ali? Ali tidak kelihatan?.” Mata Atul lari-lari anak mencari kelibat Ali.
Mengapa  pula tiba-tiba aku teringatkan si budak Ali selekeh tu?” Atul cuba mengalih fikirannya dari memikirkan Ali. Lantas terus memikirkan persembahan yang akan dilakukannya nanti.

Sorakan serta tepukan gemuruh yang hebat itu membuatkan perasaan Atul lebih bersemangat untuk memberikan persembahan yang terbaik. Atul mula perlahan-perlahan memetik gitar...
Sorakan rakan-rakannya yang menjerit Atul... I Love U !!!” Sorakan serta siulan pelajar-pelajar kepada Atul bergema bagaikan burung kelicap bersiul beramai-ramai di hutan rimba. Diiringi tepukan gemuruh yang maha hebat diberikan bagaikan meraikan kemenangan mendapat anugerah Juara Lagu. Dewan  menjadi sunyi sepi sebaik sahaja Atul mengalunkan suaranya. Tandanya, hadirin cuba mengapresiasi alunan suaranya yang merdu mendayu-dayu serta memahami bait lirik. ~ Oh... Begini Rasanya ~ ... ~ Hatiku Sengsara… ~.
Atul meneruskan nyanyian sehingga tamat lagu pertama kemudian meneruskan untuk lagu kedua. Lagu kedua juga sama seperti lagu pertama. Orang ramai tetap terpaku melihat persembahan Atul. Tiada sebarang kesilapan. Segalanya berjalan dengan sempurna. Tanpa masalah teknikal. Kemudian lagu ketiga pula menyusul.

Tajuk lagu ketiga ialah Tiada Beza antara Kita”. Lagu ini merupakan lagu gubahan oleh bapanya dan lirik pula oleh Atul sendiri. Sebelum Atul memulakan persembahan untuk lagu ketiganya, Atul terlebih dahulu menceritakan sinopsis serta tema lagu tersebut. Atul menyatakan bahawa tiada beza antara sesama manusia. Manusia itu sama sahaja. Antara kaya-miskin, tua-muda, serta pangkat dan tidak berpangkat. Semua sama sahaja. Yang membezakan hanyalah amal serta kebaikan yang dilakukannya. Manusia berhak mendapatkan kasih sayang tidak kira siapun mereka. Semua manusia punya diberi kasih sayang tanpa syarat serta diskriminasi oleh mana-mana pihak. Selesai Atul menceritakan mengenai lagu tersebut, hadirin sekali lagi memberikan tepukan gemuruh yang lebih hangat serta luar biasa. Sekali lagi rakan-rakan sekolahnya menjerit bagaikan manusia terkena histeria. Atul, kami mahu lagi, cepat !! nyanyi cepat !!”. Guru-guru lainnya tidak dapat mengawal tindakan pelajar-pelajar sekolah yang menjerit-jerit kerana bilangan ramai mereka. Hanya cikgu Adie merangkap guru pendidikan muzik tidak kisah mengenai hal itu. Baginya, sorakan terhadap orang yang diminati merupakan lumrah hati manusia.

Lagu ketiga pula memerlukan Atul menyanyi tanpa diiringi bunyian alatan muzik mahupun minus one. ~ Ohh... ~, kita ini sama sahaja ~ Tiada beza antara kita~ ...” Sorakan semakin rancak. Dewan sekali lagi bagaikan hendak runtuh dek suasana riuh dalam dewan itu. Apabila masuk korus lagu tersebut. Tiba-tiba...

            Atul terkedu senyap, otaknya diam sahaja, dan badan Atul membisu kaku. Hadirin di hadapannya hanya melihat badan Atul terkedu umpama robot yang mati fungsinya. Mata Atul kelihatan terbeliak kejut. Wajahnya mempamerkan suatu perasaan yang tidak selesa pada mata hadirin. Lalu Atul terus melutut canguk diam di atas pentas. Seakan-akan rasa bersalah terpamer diwajahnya. Tiba-tiba, kisah lima hari yang lalu melintasi fikiran separa sedarnya. Atul mengingatkan dosanya terhadap Ali. Atul berasakan dirinya manusia yang sangat kaya dengan hipokrasi.

Nyanyian terhenti selama tiga minit. Rakan-rakan mula mencebiknya. Boooo .... Booooo ......”. Atul berasa terhina akibat hinaan itu. Para guru serta pentadbir sekolah malu melihat kejadian ini. Majlis yang sepatutnya meriah menjadi diam kaku. Atul seakan-akan hilang idea untuk menyanyi lagu ketiga itu. Lupa lirik menjadi masalah utama Atul untuk meneruskan nyanyiannya. Sumpahan Ali? Tidak ... Sumpah menyumpah umpamanya disumpah menjadi batu adalah khurafat sahaja pada fikiran atul. Cerita Nakhoda Tanggang sebagai modelnya. Memandangkan lagu tersebut tidak diiringi sebarang bunyian, Atul berasa itu menjadi faktor dia tidak dapat membawa lagu tersebut dengan baik. Barangkali ini merupakan satu hukuman terhadapnya. Hukumannya yang menganiaya Ali. Kata Cikgu Kamalullail pada perhimpunan rasmi tempoh hari, doa orang dianiaya tidak ditolah Allah. Makbul. Lagu itu seakan-akan mengajarnya agar jangan bersikap kepura-puraan.

 Arghhh... Aku tidak peduli. Ali tetap beza dengan aku”, bentak hati Atul yang sangat keras begitu. Atul hanya mendiamkan diri tidak meneruskan lagu ketiga itu. Atul berlagak seperti patung Barbie terdiam membisu di atas pentas. Kelihatan cikgu Adie memberi isyarat tangan berulang kali kepada Atul agar terus mempersembahkan lagu ketiga itu. Namun Atul terdiam juga. Kali ini bukan sorakan serta tepukan yang didengari oleh Atul tetapi cercaan yang berbunyi hina terdengar di telinga Atul. ”Wei... dah lupa lirik cepat-cepat berambuslah wei ...” Atul semakin lemah semangat. Hatinya yang selama ini kuat menjadi lembik. Tidak terdaya lagi untuk Atul menanggung tekanan ini.

            Rakan-rakan di hadapan Atul bersuara pelbagai bunyi dan perkataannya. Tanda melahirkan rasa tidak puas hati terhadap persembahan Atul untuk lagu ketiga itu. Sejurus itu, seorang lelaki yang berkulit cerah kusam kelihatan keluar dari celahan himpunan pelajar yang ramai itu. Pelajar lelaki itu melangkah sederhana menuju ke luar dewan dan memetik seuntai bunga di taman sekolah. Lalu pelajar lelaki itu melangkah masuk semula ke dewan iaitu dari hujung pintu belakang dewan terus sahaja ke arah pentas. Dewan sekolah itu tidaklah besar dan lebar amat tetapi sangat panjang jika diambil kira dari dewan hadapan hingga ke pintu belakang.  Lalu kemudiannya, pelajar lelaki tersebut melangkah terengsot-engsot menuju ke pentas sambil memegang bunga di tangannya.

Setiap langkah pelajar lelaki itu diperhati oleh setiap hadirin disebelahnya termasuk bapanya yang hadir. Semasa pelajar lelaki itu menuju ke arah pentas keseorangan dari hujung dewan, tiada mata yang terkecuali memandang kecuali cikgu Mohad yang bertindak sebagai jurukamera video di hadapan. Cikgu Mohad Sang  Perakam Video itu tetap setia dengan tugasnya yang mengambil video untuk koleksi sekolah.

Pelajar lelaki itu meneruskan langkah dengan menaiki ke arah pentas dan menuju ke arah Atul. Ketika itu hadirin yang melihat nyata bingung apakah sebenarnya yang terjadi. Sepanjang pelajar lelaki tersebut bergerak ke arah Atul, dia sedaya upaya menutup mukanya dengan kain buruk putih yang sudah kekuningan. Mata-mata yang memerhati termasuk guru-guru hanya memerhati sahaja tingkah laku pelajar lelaki itu yang naik ke pentas dan menuju ke arah Atul yang melutut diam di atas pentas. Sesudah pelajar lelaki itu tiba di atas pentas, dia membuka wajahnya.

Ali!
Rakan-rakannya sahaja tahu pelajar lelaki itu Ali, tetapi kebanyakan tidak tahu. Langsung guru-guru tidak menghalang perbuatan Ali termasuk guru kelas Ali iaitu cikgu Fadlika. Cikgu Fadlika tahu benar sikap Ali. Ali seorang yang kurang sempurna akalnya. Ali sepatutnya ditempatkan di kelas pendidikan khas. Namun bapa Ali berkeras mahukan anaknya itu bercampur gaul dengan manusia yang sempurna sifatnya. Alasannya agar Ali itu tidak berasa tersisih dan menjadi biasa bercampur dengan orang yang sempurna. Ali seorang yang tidak pernah mengenali ibunya, kerana ibunya meninggal dunia sewaktu dia berumur seawal dua tahun. Bapannya hanyalah bekerja sebagai tukang urut tradisional. Menduda hampir 19 tahun lamanya.

Barangkali tindakan guru-guru tidak menghalang Ali itu disebabkan mereka berfikir kemungkinan ianya telah dirancang oleh Atul sendiri iaitu sebagai gimik untuk persembahan. Para penonton yang menyaksikan watak mereka berdua hanya berbisik-bisik sesama mereka yang tidak pasti apakah bisikan mereka.


            Atul hanya berdiam seribu bahasa di atas pentas dengan meletakkan mukanya ke   ke arah di antara lututnya dengan kedua kakinya dikatup rapat ke badan. Gayanya seperti seorang yang terlalu kecewa dalam hidup dan tidak mahu hidup di atas muka bumi ini. Tidak lama selepas itu Atul mendengar desiran langkah-langkah gagah menuju kearahnya. Siapa? Cikgu Adie...?. Hati Atul berkata.

 Jangan! Aku hendak duduk diam-diam sahaja kat sini, jangan ada sebarang gangguan terhadap aku!!.” Atul berbisik dalam hati dan mengharapkan begitu. 
Atul hendak menenangkan dirinya. Tidak tertahan hatinya. Dia tidak sanggup menghadapi tekanan seberat gunung ini. Dia sangat-sangat benci keadaan dirinya pada hari itu. Benar-benar dia berasakan dihukum setimpal dengan perbuatannya yang lalu.

            Atul, timela ini... A... a... a... Ali syuka kat Atul. Bi...bik...bik... Biarlah diorang benci Atul... Ta.. ta.. tapi Ali syokong kat Atul.....”, kedengaran suara yang amat pelat dan gagap itu di sebelah telinganya. Benar-benar dekat ditelinganya. Atul sangat-sangat terkejut mendengar suara itu. Pertama kali dia mendengar suara demikian beza bunyinya. Ali...?, nama yang didengarnya itu tadi Ali? Benarkah ini suara Ali yang baru ditempelengnya pada lima hari yang lepas?” dia tidak percaya.

Atul masih tidak mendongak muka dari antara kedua lututnya. Atul langsung tidak menoleh ke arah suara di sebelahnya. Atul tidak tertahan lagi. Berapa lama dia harus duduk membisu begitu. Dia cuba mencuri-curi pandangan ke sebelah kanannya.

Sah, ternyata Ali!”.

Atul terus mendongak mukanya dan memandang tepat ke wajah Ali. Masih terdapat birat di pipi Ali, iaitu bekas tamparannya. Anehnya Ali membalas dengan ukiran senyuman. Seolah-olah langsung tiada perasaan dendam di wajahnya. Ali seakan lupa kejadian yang menimpanya pada lima hari yang lalu.

            “Atul, amekla bub… bub… bub… bunga ni… Bunga kek..kekkk … bunga kertas untuk Atul. Ali tik… tik… tidak marah Atul…”. Ali bersuara tergagap-gagap. Sukar benar Ali hendak bersuara. Atul terkejut tatkala dia menoleh wajah yang bersuara itu. Ia benar-benar adalah Ali. Makhluk yang ditempeleng deras olehnya.
Ali memberi seuntai bunga kertas berwarna putih yang sudah tanggal satu kelopaknya. Berkemungkinan semasa Ali mencabutnya, ia direntap dengan kasar dan berlaku secara tergesa-gesa. Mungkin sebab itulah bunga itu berupa demikian. Meskipun ia sekadar bunga kertas yang kurang sempurna sifatnya dan kurang komersial; tidak seperti bunga ros, orkid, kekwa, dahlia, tulip, dan bunga-bunga komersial yang lain. Namun begitu, simbol bunga kertas putih yang kurang sempurna itu juga menggambarkan simbol kesederhanaan seseorang yang bersifat suci hatinya. Tidak mengapalah ianya bukan bunga yang cantik serta mahal tetapi yang penting ia dapat menghadirkan kebahagiaan dan kasih sayang yang seikhlasnya.

“Ya Allah, apa semuanya ini. Ali? Ini Ali…..” menggigil badan Atul serta kata-katanya terketar-ketar. Nada suaranya penuh dengan kekesalan yang amat.
“Aku rasa berdosa, aku kejam !!! aku zalim terhadap Ali. Rupanya Ali ini budak cacat. Ali budak istimewa. Dia tidak tahu apa-apa. Mengapa aku bertindak kejam terhadapnya??? Kenapa??? Aku kejammm, Kejammmm!!” Atul menangis tetapi ditahannya juga suara tangisannya daripada didengari oleh para hadirin di hadapan. Atul menutup mukanya dengan kain muka bagi mengelak hadirin mengetahui situasi sebenar yang berlaku. Hadirin yang melihat tingkah laku mereka berdua di atas pentas itu hanya membisu bagaikan ada jemaah malaikat melintas di hadapan mereka. Mereka semua tidak tahu menahu apa yang berlaku. Apa yang pasti, rakan-rakan Atul, Lee Pei, Moja, Suzie dan para pelajar lain-lain yang pernah menyaksikan babak aksi Atul dan Ali di kantin pada lima hari yang lalu sahaja yang mengetahui peristiwa sebenar. Rakan-rakan Atul dan Ali turut menangis. Sekeliling mereka tidak memahami cerita sebenar.
            Atul seorang yang sangat tabah dan kuat jiwanya. Bukan wanita yang lemah dan lembik. Seharusnya sifat sebenar Atul bukanlah bersifat begini. Dia tidak sesekali membiarkan dirinya terus dilambung dan dihanyut ombak. Atul bingkas bangun berdiri teguh dengan wajah berani serta semangat yang baru. Atul kembali mengukir senyuman paksa kepada penonton dihadapan. Sorakan hadirin kembali bergema. Sorakan kali ini bukan sorakan seperti sebelum-sebelumnya tetapi sorakan yang penuh dengan kekuatan hayunan sayap garuda yang sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Tidak keterlaluan jika dikatakan sorakan dan tepukan kali ini umpama gambaran di dataran merdeka sempena hari pengistiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Lirik-lirik lagu dan bait-bait lagu bertali arus datang dalam kepala Atul. Atul berasa pelbagai idea hebat yang masuk dalam kepalanya. Serba-serbi kekreatifan untuk persembahan lagu ketiga ini hadir dalam benak fikirannya.

Lalu Atul menyuruh Ali berpusing-pusing mengelilinginya. “Ali, joget Ali, joget…” Ali berjoget mengelilingi Atul. Atul terus melontarkan suaranya. “~ Oh… Antara kita tiada bezanya, ~ Sesama kita, bantu-membantu… ~” Atul menyanyi sambil memandang-mandang Ali dan sesekali memandang penonton. Pergerakan Atul tidak hanya statik pada satu tempat malah menguasai keseluruhan tapak pentas sambil melambai-lambai hadirin. Sorakan serta tepukan guruh gemuruh penonton terus didapati. Ali hanya menari-nari sambil bermain-main dengan kain buruk putih kekuningannya itu di atas pentas tanpa rasa segan dan silu. Ali berperanan sebagai penghibur terbaik ketika itu. Ali hanya tahu berseronok kerana dapat bersama-sama dengan Atul di atas pentas itu. Para ibu bapa dan warga sekolah yang melihat persembahan mereka sesekali tidak menyangkakan persembahan yang berbentuk sebegini. Wajah yang paling berbangga ketika itu ialah bapa Ali, Cikgu Adie serta Cikgu Fadlika. Mereka langsung tidak tahu. Mereka benar-benar memikirkan tindakan Atul mendiamkan diri itu sebagai gimik. Meskipun sebenarnya ia tidak dirancang oleh Atul. Ia berlaku dengan tidak diminta. Inilah kuasa Yang Maha Esa.

“Ali, maafkan Atul…”. Atul menangis tanpa menyembunyikan wajahnya setelah tamat lagu terakhir itu. Biarlah rakan-rakannya mengetahui yang dia boleh menangis meskipun sebelum ini dia sangat keras dan kerapkali menolak untuk menangis di hadapan rakan-rakan. Kali ini Atul benar-benar menjadi perempuan. Perempuan sebenar yang tidak bersifat terlalu egois. Ali kemudiannya mengesat air mata Atul yang berjurai-jurai keluar dari kedua kelopak mata Atul dengan jari-jemarinya yang panjang itu, dengan ekspresi wajah nerd itu. “Ali sungguh baik, Atul jahatkan… Maafkan Atul. Atul janji… lepas ni kita boleh berkawan baik” Atul mengeluarkan jari kelingking sebagai simbol pengisytiharan  menjadi kawan baik kepada Ali. Ali pun turut berbuat perkara yang sama seperti Atul. Penonton yang melihat persembahan mereka hanya senyap bisu tanpa berkata apa-apa kerana melihat khusyuk terhadap mereka berdua, Sesekali penonton berbisik-bisik sesama mereka. Segelintir penonton menangis apabila melihat Atul yang berwajah hiba.

Penonton yang melihat persembahan mereka itu hanya melihat mesej lagu yang ingin disampaikan iaitu Tiada Beza Antara Sesama Manusia. Mereka mengandaikan persembahan yang dipersembahkan oleh Atul itu terdapat dua watak iaitu watak sempurna diwakili Atul dan Ali sebagai watak manusia istimewa. Persembahan mereka itu benar-benar memberi kesan jiwa yang hebat kepada penonton. Akhir persembahan, hampir keseluruhan penonton yang melihat persembahan mereka menangis.

Yang anehnya, perasaan geli Atul terhadap makhluk disebelahnya itu tiba-tiba sahaja lenyap. Bau busuk Ali tiba-tiba menjadi wangi. Entah apa penangan yang dibawa oleh Ali ketika itu langsung tidak diketahui oleh Atul. Seolah-olah Atul kini berlainan benar dengan Atul pada lima hari yang lalu. Babak antara Atul dan Ali ketika ini sangat berbeza. Dulu lain, sekarang lain. Atul menyesal tindakannya dahulu. Dia berjanji untuk tidak mendiskriminasi sesiapa dan tidak memilih bulu. Meskipun dia dilahirkan sempurna sifat fizikal dan mental serta anak orang kaya, tetapi manusia yang kurang sempurna sifat seperti Ali kaya dengan sifat kasih sayang. Atul kagum melihat Ali.

Menjadi orang terkenal, kebijaksanaan akal, kecantikan wajah, kekayaan harta benda, serta keturunan yang hebat bukanlah kebahagiaan segala-galanya. Namun sebaliknya kebahagiaan dalam hati menjadi kebahagiaan hakiki yang perlu dimiliki setiap insan.

 Sesungguhnya, peristiwa tempeleng dari Atul terhadap Ali tetapi dibalas dengan bunga kertas oleh Ali menjadi pengajaran serta pengalaman bermakna buat Atul. Atul akan mencatatkan peristiwa ini dalam diari kehidupannya. Peristiwa ini menjadi sejarah hidup yang tidak akan dilupakannya. Sesekali tidak akan dilupakannya. Biarlah ia menjadi peringatan buatnya untuk masa-masa hadapan. Kesemua penonton yang terdiri daripada ibu bapa dan warga sekolah berdiri memberikan tepukan gemuruh setelah selesai persembahan terakhir Atul  yang ternyata memukau.
                                                                             
Putera Mohd Nazree Bin Abdul Razak
(5:25 PM / 8 APRIL 2010)
                                                                                        Edit Terkini: 28/9/2012



Powered By Blogger

About Me

Foto saya
Dilahirkan pada 26 Oktober 1987 di Johor Bahru. Namun dibesarkan sebagai anak Muar jati.. Anak pertama dalam kalangan 3 beradik. Kesemua lelaki. Sekolah di Sek Keb Tun Aminah JB (1994), Sek Keb Pt No. 5 (1995-1999), Sek Men Keb Johor Jaya 1 (2000-2002),Sek Men Keb Pekan Baru (2003-2006). Sekarang pelajar di UPSI Tg Malim (2007-2011).

Followers